Islamic Medical Association of Malaysia – Student Chapter of Indonesia (IMAM-SCI) merupakan organisasi di peringkat mahasiswa, berpusat di Makassar, Sulawesi Selatan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 2003 dan secara hierarkinya dinaungi oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) di Malaysia yang dianggotai oleh tenaga-tenaga profesional Muslim dalam bidang perubatan di Malaysia. Persatuan ini pula merupakan satelit daripada Federation of Islamic Medical Association (FIMA) yang sudah menjadi lambang kesatuan profesional-profesional kesihatan Muslim di seluruh dunia.
IMAM-SCI sepanjang penubuhannya giat menjalankan aktiviti-aktiviti berbasis perubatan dan keagamaan, dengan misi menyampaikan Islam kepada komuniti khususnya dikalangan pelajar-pelajar perubatan. Selain aktiviti diperingkat mahasiswa, persatuan ini mempunyai hubungan yang baik dengan badan-badan sosial tempatan sekaligus memudahkan program-program bersama masyarakat di jalankan. Antara badan yang pernah bekerjasama dengan IMAM-SCI adalah Azhar Center, Laz Ar Rahmah dan Hidayatullah. Dengan kerjasama ini, beberapa program berjaya dijalankan seperti kutipan zakat, iftar bersama anak yatim, sumbangan Ramadhan dan seumpamanya. Program seperti ini selain memberi manfaat kepada penduduk tempatan yang amat memerlukan, ia juga sekaligus memupuk rasa empati dan prihatin kepada saudara-saudara seagama di kalangan ahli persatuan.
Tekad kami adalah untuk menambah kesedaran dan menimba pengalaman selama masih berada di sini untuk membina peribadi dan sahsiah doktor Muslim yang mantap dan bersedia untuk selalu berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Semoga segala apa yang diusahakan mendapat keberkatan dariNya.
'Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam'
No comments:
Post a Comment